Assalamualaikum. Bismillahirrahmanirrahim
Aku melihat hidup orang lain begitu nikmat,
Rupanya dia menutup kesusahannya tanpa berkeluh kesah.
Aku melihat hidup sahabat-sahabatku tiada duka dan kepedihan,
Rupanya dia menutup sakit dan pedihnya dengan redha dan bersyukur.
Aku melihat hidup saudaraku tenang tanpa ujian,
Rupanya dia begitu menikmati badai hujan dalam kehidupannya.
Aku melihat hidup sahabatku begitu sempurna dan lengkap,
Rupanya dia berbahagia dengan apa yang dia ada.
Aku melihat hidup orang sekelilingku sungguh beruntung,
Rupanya dia selalu tunduk pada Allah untuk bergantung.
Setiap hari aku belajar memahami dan mengamati hidup setiap orang disekelilingku,
Ternyata aku kurang mensyukuri nikmat Allah.
Bahawa di satu sudut dunia ada yang masih belum peroleh apa yang aku miliki hari ini.
Bahawa di satu sudut dunia ada yang mengharapkan untuk memiliki apa yang aku ada hari ini.
Dan satu hal yang aku ketahui, bahawa Allah tidak pernah mengurangkan ketetapanNya.
Hanya akulah yang masih mengkufuri segala nikmat suratan takdir illahi.
Maka aku rasa aku tidak perlu iri hati dengan rezeki orang lain.
Mungkin aku tidak tahu dimana rezekiku berada, tetapi rezekiku tahu dimana aku berada.
Dari lautan biru, bumi dan gunung, Allah telah memerintahkannya menuju kepadaku.
Allah menjamin rezekiku, sejak 4bulan 10 hari aku dalam kandungan ibu.
Amatlah keliru bila bertawakkal rezeki dimaknai dari hasil bekerja,
Kerana bekerja adalah satu ibadah, sedang rezeki itu urusanNya
Melalaikan kebenaran dan gelisah dengan jaminanNya, adalah kekeliruan yang berganda.
Manusia membanting tulang, demi angka simpanan gaji, yang mungkin esok ditinggalkan mati.
Kita lupa bahawa hakikat rezeki tidak terletak pada angka tetapi terletak pada apa yang telah kita nikmati.
Ikhtiar itu perbuatan. Rezeki itu kejutan.
Dan yang tidak boleh diabaikan, setiap hakikat rezeki akan ditanya kelak di akhirat "dari mana ia datang dan kemana ia pergi"
Kerana rezeki hanyalah "hak pakai" bukan "hak milik"
Halalnya dihisab dan haramnya diazab
Maka, aku tidak boleh rasa iri hati pada rezeki orang lain.
No comments:
Post a Comment